Pakaian Istiadat Diraja

 
TENGKOLOK DIRAJA
 
Di antara pakaian-pakaian kebesaran Raja-raja Melayu ialah Tengkolok Diraja.Semenjak beberapa kurun lamanya, Raja-raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan pelbagai solek di ulunya, sebagai pakaian kebesaran.Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah negeri ke sebuah negeri.Kain ulu itu dinamakan 'Tengkolok' dan Tengkolok Diraja yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Hari Pertabalan, Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi, lawatan – lawatan rasmi Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke negeri-negeri di Malaysia dan semasa Perasmian Pembukaan Sesi Penggal Persidangan Parlimen adalah berwarna hitam bersulam benang emas. Soleknya dinamakan 'Dendam Tak Sudah' yang berasal dari Negeri Sembilan. Manakala di sebelah hadapan tengkolok ini dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di tengah-tengah bintang terletak lambang Kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.
________________________________________________________________________________________________________________________________________
 
 
 

MUSKAT

Muskat merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai-pegawai Istiadat Istana Negara. Baju ini berasal dari Negara Muskat iaitu sebuah negara Islam yang berhampiran dengan Negara Iran. Muskat menjadi pakaian rasmi pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kedah.Pakaian rasmi ini mula dipakai pada tahun 1960 iaitu semasa pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketiga yang diilhamkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Baju ini telah diubahsuai daripada pakaian rasmi Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kedah.

Baju ini diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam yang dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia. Baju ini labuh hingga ke paras paha dan berlengan panjang. Pada kebiasaannya, baju ini dipakai sekali dengan seluar panjang bersulam di kaki dan tengkolok dalam majlis-majlis sempena Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Hari Ulangtahun Keputeraan Seri Baginda Yang di-Pertuan Agong, lawatan-lawatan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, ke negeri-negeri seluruh Malaysia dan semasa Perasmian Sesi Penggal Persidangan Parlimen.

_______________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 

MESS KIT
 
Mess kit merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika menghadiri majlis santapan malam beristiadat. Mess Kit telah diwujudkan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 20 Februari 2009. Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan cadangan reka bentuk Mess Kit. Cadangan reka bentuk Mess Kit telah diangkat untuk disembah perkenan dalam Mesyuarat Pre-Council Majlis Raja-Raja Ke-222 pada 12 Oktober 2009. Setelah mengambil kira pandangan dan nasihat Duli-Duli Yang Maha Mulia RajaRaja, pengubahsuaian sewajarnya telah dilakukan dan akhirnya Mess kit tersebut telah sempurna disiapkan dan disembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong XIII pada 24 November 2011. Dengan itu, secara rasminya Mess Kit menjadi salah satu daripada pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di samping Muskat.

Secara umumnya reka bentuk dan corak Mess Kit diolah berdasarkan kepada Muskat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Awan larat pada kolar dan lengan baju merupakan elemen seni reka yang begitu signifikan dengan istana yang melahirkan identiti kebangsaan. Manakala Bunga Raya merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia yang melambangkan keberanian, perpaduan dan lima kelopak pula menggambarkan lima prinsip Rukun Negara. Mess Kit ini dipakai bersekali dengan vest dan kemeja berwarna putih di samping seluar panjang hitam yang mempunyai jalur berwarna keemasan di bahagian tepinya. Aksesori tambahan terdiri daripada e polet yang dihiasi lambang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan keris bersilang, di mana keris merupakan sebahagian pakaian kebesaran Diraja, di antaranya pula diletakkan lima bintang pecah lima yang disusun secara bulatan menggambarkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera. Menghiasi bahagian dada sebelah kanan pula adalah aiguilette berwarna keemasan yang sinonim dengan pakaian seragam untuk menambah kesegakan.
_______________________________________________________________________________________________________________________________________
 
 

PENDING DIRAJA

Pending Diraja ini diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan dengan permata delima dan di tengah-tengahnya pula tertera lambang Kerajaan Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

_______________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 

KERIS PENDEK DIRAJA

Keris Pendek Diraja diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas. Hulu keris ini dinamakan 'Hulu Pekaka' dan berupa kepala 'Garuda'. Di sampir keris ini diterapkan dengan lambang Kerajaan Persekutuan. Keris ini adalah salah satu pakaian kebesaran diraja dan seperti Keris Panjang Diraja, ia hanya dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

_______________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 

GENDIK DIRAJA

Gendik (Pemeles) adalah pakaian ulu bagi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat. Di tengah-tengahnya, di atas awan larat itu terdapat anak bulan dengan bintang, di mana kedua-duanya diperbuat daripada emas putih. Gendik ini dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan waktu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Gendik ini diperbuat khas supaya boleh dicerai menjadi loket dan keronsang.

_______________________________________________________________________________________________________________________________________

 

 

KALUNG DIRAJA
Kalung adalah rantai leher yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian. Kalung ini merupakan sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kalung ini juga boleh diceraikan menjadi sepasang subang, keronsang dan kerabu.
 

Hubungi Kami

  • Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu
  • Universiti Teknologi MARA
  • Aras 5, Kompleks Al-Farabi, Blok D
  • 40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA
  • Tel :  03-5544 4114/ 4154/ 4047
  • Faks :  03-5544 3740
  • Email : kursirajamelayu@uitm.edu.my

 

© Hak Cipta Kursi Institusi Raja-Raja Melayu 2021

Penafian & Hak Cipta Terpelihara | Kenyataan Privasi | Dasar Keselamatan ICT

Menu