Latar Belakang dan Sejarah Penubuhan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu

Cadangan penubuhan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat dan turut menyebarkan maklumat melalui aktiviti pengajaran, penyelidikan, seminar dan persidangan sebagai satu usaha untuk memartabatkan serta memperkasakan institusi beraja di negara ini di samping memberi gambaran yang sebenar tentang peranan institusi Raja-Raja dan mempertahankan kedaulatan institusi beraja.

Sebagai sebuah universiti awam, UiTM juga berhasrat untuk menubuhkan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu. Kursi yang dicadangkan ini adalah sebagai sebuah pusat pengajian, penyelidikan, rujukan dan pengumpulan dokumentasi berkaitan institusi Raja-Raja Melayu di Malaysia dan Nusantara. Hasil kajian berkaitan dengan institusi Raja-Raja boleh disebar luas dan dimanfaatkan bersama kepada masyarakat dan dunia.Idea dan inisiatif penubuhan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bermula pada tahun 2014 di mana Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) telah diberi tanggungjawab sebagai sekretariat penubuhan.

Pewujudan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM melalui proses kelulusan penubuhan di peringkat Lembaga Pengarah Universiti (LPU), UiTM. Kelulusan penubuhan Kursi diperingkat universiti ini telah telah dimajukan kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk tujuan pemakluman seterusnya diangkat kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia bagi tujuan memohon perkenan Majlis Raja-Raja. 

Hasrat penubuhan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di UiTM telah disembah taklimat oleh Naib Canselor UiTM dalam Mesyuarat Pre-Council Majlis Raja-Raja Ke – 247 di Balai Seri Maharaja, Istana Negara pada 10 Oktober 2017.

Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM mula beroperasi pada bulan Julai 2018. Penyandang yang dilantik adalah YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal bin Kling. Ini merupakan lantikan Penyandang Kursi yang pertama dan tempoh lantikan adalah selama 2 tahun iaitu bermula pada 02 Julai 2018.