Feed not found.

 

sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/621633/tingkatkan-operasi-banteras-pemburu-haram-sultan-johor

 

sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/621633/tingkatkan-operasi-banteras-pemburu-haram-sultan-johor

DURBAR, majlis yang diperkenalkan  oleh British di Tanah Melayu melalui penubuhan Perlembagaan Persekutuan 1896. Pada asasnya, majlis Durbar dicadangkan bagi membolehkan raja-raja Melayu dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu, iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang menyertai Persekutuan 1896 itu bertemu setiap tahun untuk membincangkan kepentingan bersama. Bersesuaian dengan konsep Persekutuan, negeri yang maju diharap dapat menolong negeri yang mundur.

 

Sebelum Pembentukan Durbar

Raja-raja dahulu merupakan Raja-raja mutlak, yang mempunyai kuasa perundangan eksekutif dan kehakiman. Raja-raja ini memerintah negeri masing-masing berdasarkan dasar mereka sendiri, dibantu oleh pelbagai kategori pegawai pada nama sahaja. Pada zaman kesultanan Melaka, para pegawai ini diketuai oleh Bendahara (pada zaman ini Bendahara setaraf dengan Perdana Menteri). Penaklukan Melaka oleh Portugis pada tahun 1511, dan Belanda pada tahun 1641, tidak mengubah struktur tradisi Kesultanan Melayu. Pada awal tahun 1874 pula, pihak British mencampuri pentadbiran Kesultanan Melayu. Sultan-sultan kekal menjadi Raja berdaulat tetapi mereka terikat dengan perjanjian untuk menerima nasihat daripada Residen British, Penasihat atau Penasihat Jeneral.

Sebelum pihak British melengkapkan penguasaan politik mereka terhadap kesultanan Melayu, (Terengganu ialah negeri terakhir menerima penasihat British pada tahun 1919), mereka terlebih dahulu menggabungkan kuasa pentadbiran mereka, dengan membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu (yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) pada tahun 1896 dan kemudiannya menubuhkan sebuah Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1909, yang ahlinya terdiri daripada empat orang Raja-raja Melayu, yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Sungguhpun pihak British cuba mengekalkan kedaulatan Kesultanan Melayu, tetapi apa yang tinggal bagi Raja-raja Melayu, hanyalah tugas yang berkaitan dengan upacara adat istiadat dan hal-hal keagamaan.

Meskipun Majlis Raja-raja yang ada sekarang merupakan struktur formal perlembagaan, nama majlis ini tidak dapat dipisahkan daripada Kesultanan Melayu yang merupakan tonggak sistem atau institusi beraja di Malaysia. Sebab itu sejarah awal Majlis Raja-raja elok dimulai dengan menelusuri secara sepintas lalu kemunculan Kesultanan Melayu yang ada sekarang. Ini penting bagi menunjukkan pertalian awal di kalangan keluarga diraja yang ada di Malaysia sekarang, sesuatu yang tidak kurang pentingnya dalam menyediakan persekitaran yang akhirnya melahirkan majlis ini. Kemunculan dan kedudukan Kesultanan Melayu tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan Kesultanan Melayu Melaka. Meskipun kesultanan ini bukan kesultanan yang tertua, Kesultanan Kedah diasaskan sekitar kurun ke-13. Kesultanan Melayu Melaka mempunyai signifikan yang besar dalam membina tradisi dan adat istiadat istana yang kemudiannya diwarisi oleh kesultanan-kesultanan yang muncul kemudiannya. Selain itu, Kesultanan Melayu Melaka juga mempunyai peranan dalam membantu mengasaskan dan memperkukuhkan kebanyakan kesultanan yang ada sekarang.

Daripada sembilan kesultanan yang ada, hanya Kesultanan Melayu Perak yang mempunyai pertalian langsung dengan Kesultanan Melayu Melaka kerana Kesultanan diasaskan oleh kesultanan tersebut sebelum Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Kesultanan Kedah yang pernah dilindungi oleh Melaka memiliki beberapa peralatan diraja termasuk nobat yang dianugerahkan kepada kesultanan ini oleh kerajaan Melaka. Kesultanan Selangor, meskipun diasaskan oleh orang Bugis pada kurun-18, kesultanan ini diberi kesahan oleh Kesultanan Perak yang mempunyai pertalian langsung dengan Raja-raja Melaka. Kesultanan-kesultanan lain seperti Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu muncul selepas keturunan Kesultanan Melayu Melaka pupus. Kesultanan-kesultanan ini jelas mengisi dan meneruskan warisan yang dikosongkan oleh Kesultanan Melayu Melaka selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis. Begitu juga dengan Negeri Sembilan, meskipun Raja-rajanya berasal dari Sumatera. Apabila pihak British campur tangan di negeri-negeri Melayu, bermula dengan Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 dan berakhir dengan perjanjian British dengan Johor pada tahun 1914.

Kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Raja yang berdaulat tidak berubah. Inilah kedudukan Raja-raja di sisi undang-undang, walaupun kenyataannya mungkin tidak sedemikian bebas dan berdaulat. Prinsip ini telah diisytiharkan oleh beberapa keputusan mahkamah yang berbeza kedudukannya dengan kedudukan raja-raja Melayu dalam Malayan Union. Walaupun demikian, Raja-raja terpaksa tunduk kepada kehendak dan tekanan pihak British. Meskipun tekanan itu boleh dipersoalkan di sisi undang-undang, pihak British mempunyai kekuatan untuk memaksa Raja-raja Melayu mendengar perintah mereka. Campur tangan pihak British di negeri-negeri Melayu, sebuah perkumpulan yang menyamai sebuah persekutuan dibentuk pada tahun 1895. Perkumpulan yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Empat orang Raja Melayu duduk dalam Majlis Persekutuan yang fungsinya untuk menggariskan polisi yang dilaksanakan melalui perundangan di peringkat negeri melalui majlis-majlis negeri. Walaupun kuasa perundangan Raja-raja Melayu kekal, namun hanyalah dari segi perlembagaan. Hakikatnya pihak British yang membentuk dan mengawal polisi pentadbiran dan pelaksanaannya di negeri-negeri Melayu Bersekutu. Raja-raja tahu apa yang mereka terima bukanlah sesuatu yang mereka maksudkan ketika menandatangani perjanjian dengan pihak British. Ini dibuktikan dengan penentangan awal selepas Perjanjian Pangkor yang berakhir dengan pembuangan negeri Sultan Abdullah.

 

 

Pembentukan Durbar

Pada 1 Julai 1896, pihak British membentuk Negeri - Negeri Melayu Bersekutu dan menetapkan dengan serta - merta bahawa suatu mesyuarat antara Raja-raja Melayu dengan pihak British hendaklah diadakan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh Negeri-Negeri Tanah Melayu. Pihak British menamakan mesyuarat ini sebagai Durbar. Nama ini timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja) Durbar juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja Negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi tali persahabatan antara Raja - Raja dengan pihak British.

Durbar yang pertama dijadual diadakan pada penghujung tahun 1896 tetapi terpaksa ditunda kerana Sultan Abdul Samad (Selangor) jatuh gering dan pada akhirnya mesyuarat diadakan di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897. Mesyuarat tersebut berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul'adzam Shah dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Muhammad dari Negeri Sembilan. Pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri - Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri - Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri - Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak diwakili kerana Residennya Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897.

Kuala Kangsar dipilih sebagai tempat mesyuarat Durbar yang pertama atas keyakinan pihak British terhadap Sultan Idris. Perhubungan yang baik antara Sultan Idris dengan pihak British ini terhenti pada tahun 1916, berikutan kemangkatan Sultan Idris. Sebelum ini, pendapat Baginda memang selalu diminta oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dijadikan sebagai Raison d'etre bagi pembentukan pelbagai polisi. Mesyuarat Durbar yang kedua diadakan pada Julai 1903 di Kuala Lumpur, Ibu Negeri Persekutuan. Gabenor Negeri-Negeri Selat pada masa itu ialah Sir Frank Swettenham yang juga merupakan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Berikut adalah ringkasan yang dibuat oleh Sir Frank Swettenhem mengenai kedua-dua mesyuarat tersebut. Mengenai mesyuarat Durbar yang pertama, beliau menulis dalam laporan rasmi beliau:

Sekiranya dilihat dari pelbagai sudut, mesyuarat ini boleh dikatakan suatu kejayaan dan kini sukar untuk meramalkan kepentingan semasa dan masa hadapan mesyuarat antara Raja - Raja Melayu ini. Mesyuarat yang diadakan ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan dalam sejarah Tanah Melayu. Rasa saya, belum pernah kita mendengar seorang Raja sesebuah negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke negeri lain, tetapi kejayaan mengumpulkan kesemua Sultan dari Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan di satu tempat pertemuan merupakan sesuatu kejayaan besar yang mungkin dianggap mustahil.

Pertimbangan ahli Majlis amat menarik dan berguna dan tidak dapat dinafikan bahawa ada pada ketikanya sebarang keputusan sudah pasti tidak akan tercapai sekiranya pertemuan antara Raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan penasihat mereka yang bertanggungjawab tidak diadakan. Segala perbincangan dijalankan dengan menggunakan bahasa Melayu dan saya pasti, sekiranya perlu diadakan tafsiran, maka mesyuarat yang diadakan sebegini tidak mungkin akan menemui kejayaan. Sultan dan pembesar negeri membincangkan hal yang diminati oleh mereka, tanpa teragak-agak dan kesukaran, dan juga hal berkenaan dengan Agama Islam, adat resam Melayu dan juga persoalan yang menyentuh hak orang Melayu, segala pengalaman dan pengetahuan mengenai hal-hal ini amatlah sukar untuk diperoleh daripada sumber-sumber lain kecuali pada mesyuarat sebegini.

Tentang mesyuarat Durbar kedua, beliau menulis:

Sekali lagi pertimbangan mesyuarat ini, selepas diadakan perbincangan, membuahkan beberapa keputusan yang penting yang mempunyai kaitan yang besar dengan penduduk Melayu. Mesyuarat kali ini penting kerana Raja-raja dari Negeri-negeri sebelah Barat didatangkan ke Kuala Lumpur dengan kereta api manakala Sultan Pahang dan pembesar negerinya menggunakan jalan laut, dan juga kerana ucapan yang disampaikan oleh Sultan Perak pada penutup mesyuarat tersebut. Baginda menceritakan dengan jelasnya tentang kemasukan pihak British di Negeri-Negeri Tanah Melayu dan juga kebaikan yang diperolehi oleh orang Melayu daripada pihak British yang memperkenalkan pentadbiran mereka. Baginda juga bercerita dengan terus terang tentang keraguan dan perasaan tidak percaya baginda dan rakyat terhadap orang putih dan bagaimana mereka mengubah fikiran lama-kelamaannya.

Sungguhpun pada keseluruhannya mesyuarat ini telah meningkatkan perasaan muhibah antara ahli-ahlinya, namun ia tidak memberi kesan dari segi pentadbiran. Mesyuarat tersebut hanya bertujuan sebagai majlis penasihat semata-mata. Perkara yang dibincangkan terhad dan hanya merupakan salah satu agenda dalam atur cara yang merangkumi penangkapan ikan, sukan air, teater amatur, perkelahan di kawasan air terjun, pertunjukkan bunga api dan juga bentuk hiburan lain. Walaupun kepentingan mesyuarat Durbar ini ditegaskan oleh Swettenhem, namun jarak antara mesyuarat pertama dengan yang kedua adalah enam tahun kerana Swettenhem berpendapat bahawa mesyuarat sebegini tidak wajar diadakan pada setiap tahun. Mesyuarat Durbar yang kedua lebih bermakna. Walaupun Sultan Idris memuji usaha pihak British pada akhir mesyuarat itu, baginda sebenarnya meluahkan perasaan tidak puas hati semasa mesyuarat berlangsung. Baginda menggesa agar lebih banyak orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan agar mereka ini dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Baginda juga membantah kecenderungan terhadap penggabungan. Baginda tidak menyenangi akan perkara persekutuan dan memetik peribahasa Melayu yang menyebut tidak perlu ada dua nakhoda dalam sebuah kapal; oleh sebab itu, mustahil bagi empat orang Raja-raja Melayu memerintah sebuah negara.

Baginda juga mengingatkan pihak British bahawa Perjanjian Pangkor memperuntukkan bahawa Residen - Jeneral hanya boleh bertindak sebagai penasihat, dan bahawa urusan setiap negeri itu haruslah ditadbir oleh pegawai dari negeri berkenaan dan bahawa kerajaan sesebuah negeri harus kekal sebagai satu entiti yang berlainan. Tetapi pihak British tidak begitu mengendahkan masalah yang diajukan oleh Sultan Idris. Rancangan untuk menyerapkan orang Melayu ke dalam perkhidmatan awam hanya dilaksanakan pada tahun 1910, tetapi tindakan ini bukanlah hasil daripada Mesyuarat Durbar. Pada tahun 1927 dasar pengagihan kuasa pusat diisytiharkan, tetapi pelaksanaan dasar ini tertangguh sehingga pertengahan tahun 1930-an.

Selain itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan juga mengajukan satu usul yang amat penting iaitu agar bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi Persekutuan, bukannya bahasa Inggeris. Ini lebih sesuai memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan secara meluas, baik oleh rakyat jelata mahupun mereka yang berdarah raja: "penggunaannya secara lisan dan dalam dokumen rasmi akan membawa kebaikan dan kesejahteraan penduduk." W.H. Treacher (Residen-Jeneral) pada masa itu membangkang dengan lembut. Menurutnya, bahasa Inggeris merupakan bahasa perkhidmatan awam, bahasa kebanyakan penduduk bukan Melayu, bahasa India British yang berdekatan, bahasa ahli perniagaan tempatan, dan juga di Eropah dan Amerika. Pada akhirnya keputusan dicapai yang berpihak kepada penggunaan bahasa Inggeris.

Pada tahun-tahun yang berikutnya, pihak British mengambil langkah untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan persekutuan dengan menubuhkan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1909. Penubuhan majlis ini dicadangkan oleh pengganti Swettenham, iaitu Sir John Anderson yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Turut menganggotai Majlis Mesyuarat Persekutuan tersebut ialah keempat-empat Raja Melayu pada masa itu. Namun demikian majlis itu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Keadaan ini merupakan usaha untuk menegaskan kedudukannya sebagai Ketua Eksekutif Persekutuan tersebut, sedangkan sejak tahun 1896, jawatan itu disandang oleh Residen-Jeneral. Disebabkan penglibatan Raja-raja Melayu dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan, Mesuarat Durbar tidak lagi diadakan sehingga tahun 1927, apabila majlis itu disusun semula dan Raja-raja Melayu menarik diri daripada menganggotai majlis tersebut.

 

 

Pemulihan Durbar

Berakhirnya Perang Dunia Pertama, telah memperlihatkan perubahan yang penting dalam pentadbiran Negeri-negeri Tanah Melayu. Pihak British akhirnya memaksa negeri Terengganu menerima seorang Penasihat British. Negeri Terengganu merupakan negeri Tanah Melayu yang terakhir yang menandatangani perjanjian "mempelawa" pihak British untuk melantik seorang pegawai untuk menasihati Rajanya.

Setelah pengaruhnya bertapak kukuh di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pihak British mencuba pula menyatukan Negeri-Negeri Tanah Melayu. Tetapi untuk berbuat demikian, Raja-Raja Melayu di Negeri-Negeri Tidak Bersekutu mestilah diyakinkan bahawa kuasa mereka tidak akan berkurang apabila mereka bersatu. Untuk meyakinkan mereka, pihak British mula menubuhkan kembali Majlis Mesyuarat Persekutuan. Pihak Raja-raja Melayu menarik diri daripada Majlis itu. Sebaliknya empat perwakilan Melayu (seorang dari setiap negeri) dilantik. Walau bagaimanapun, perwakilan dari negeri Perak, Raja Chulan, sudah pun menjadi ahli Majlis itu sejak tahun 1924. Seterusnya, pada tahun yang sama (1927), Gabenor Negeri - Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Laurence Guillemard mengisytiharkan satu dasar Pengagihan Kuasa Pusat yang apabila dilaksanakan akan menyebabkan sebahagian daripada kuasa pentadbiran negeri kembali kepada Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Walau bagaimanapun, Pengagihan Kuasa Pusat telah dibangkang oleh masyarakat perniagaan berbangsa Eropah dan Asia kerana mereka khuatir keadaan ini mungkin akan mengurangkan kecekapan pentadbiran. Pembangkang utama terhadap dasar ini ialah Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha (gelaran sebelum Residen-Jeneral) Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Perhubungan antara setiap Residen-Jeneral / Ketua Setiusaha dan setiap Pesuruhjaya Tinggi, pada amnya, sudah lama mengalami kesulitan kerana masing-masing hendak menegaskan pendudukan sebagai Ketua Eksekutif Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Oleh hal yang demikian, Pengagihan Kuasa Selat hanya berlaku dengan lebih bersungguh-sungguh pada pertengahan tahun 1930-an, apabila Sir Shenton Thomas dilantik sebagai Gabenor dan Pesuruhjaya Tinggi.

Sementara itu, Durbar yang dihidupkan semula telah bermesyuarat buat pertama kalinya pada Ogos 1927, di Kuala Kangsar, sebelum Guillemard meninggalkan Tanah Melayu. Tujuan mesyuarat ini adalah untuk membantu mencapai matlamat politik utama dasar Pengagihan Kuasa Pusat, iaitu dengan penubuhan "Persatuan Tanah Melayu". Durbar ini dipercayai akan memudahkan perhubungan bersama, bukan sahaja antara Raja-Raja Melayu di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, bahkan juga pada masa akan datang antara Raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Raja-raja Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Pengganti Guillemard, Sir Hugh Clifford, yang pernah berkhidmat di Negeri-negeri Tanah Melayu beberapa tahun sebelum itu, tidak bersungguh - sungguh melaksanakan dasar Pengagihan Kuasa Pusat ini. Beliau tidak sihat sepanjang masa itu dan digantikan oleh Sir Cecil Clementi pada tahun 1930. Semasa tempoh pentadbiran Clementi mesyuarat Durbar mendapat perhatian yang lebih. Pada tahun yang sama dengan pelantikannya, mesyuarat Durbar yang keempat diadakan pada bulan Oktober di Singapura. Inilah kali pertama mesyuarat itu diadakan di luar Negeri - Negeri Melayu Bersekutu dan juga merupakan kali pertama Raja-raja Negeri-negeri Tidak Bersekutu diundang untuk menghadirinya.

Clementi berkempen bersungguh - sungguh untuk menghasilkan pembaharuan pentadbiran dan secara terus terang mengumumkan visinya untuk Tanah Melayu di mesyuarat Durbar yang diadakan di Seri Menanti pada 18 Ogos 1931. Dalam mesyuarat ini, Raja-raja Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu tidak diundang. Clementi kemudiannya menerangkan kepada Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat akan rancangannya untuk menubuhkan Malayan Union umun dan untuk mengagihkan kuasa pusat Negeri-negeri Bersekutu.

Pada pendapat Clementi, penghalang utama untuk memperoleh kerjasama yang rapat di kalangan Negeri-negeri Tanah Melayu adalah penyelewengan Negeri-negeri Melayu Bersekutu daripada tujuan asal penubuhannya iaitu keempat-empat negeri ini seharusnya ditempatkan "pada asas perlembagaan yang sama" dengan Negeri-Negeri Tidak Bersekutu. Oleh itu, ikatan persekutuan yang sudah menjadi terlalu rapat perlu dirungkaikan supaya "ikatannya dapat diperluaskan untuk memastikan entiti politik yang lain di Semenanjung". Bagi Clementi, tindakan ini akan meningkatkan pemahaman di kalangan kesemua Negeri Tanah Melayu demi kepentingan bersama, dan selanjutnya "untuk mewujudkan persaudaraan antara Negeri-negeri Tanah Melayu, setiap satunya berbangga menjaga sejarahnya sendiri dan autonominya, tetapi berganding bahu dalam sebarang usaha demi kebaikan orang Melayu di Semenanjung keselururhannya dan bangsa-bangsa pendatang yang menjadikan negeri ini tanah air mereka".

Clementi tetap bertegas dan secara tidak diplomatik meneruskan usahanya untuk menyerahkan lebih kuasa politik dan kuasa pentadbiran kepada Raja-raja Melayu dan kerajaan negeri masing-masing dan dengan itu mengurangkan kuasa Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur. Sementara itu, beliau memperoleh kepercayaan Raja-raja Melayu dan mesyuarat Durbar menjadi satu-satunya tempat bagi Raja-raja Melayu menyuarakan kekhuatiran mereka terhadap masa depan orang Melayu, terutama sekali kurangnya kawalan imigresen. Namun demikian, tindakan Clementi ini telah membangkitkan kemarahan masyarakat perniagaan dan juga ahli birokrasi. Beliau dipanggil balik pada tahun 1934.

Pengganti beliau, Sir Thomas Shenton, telah mengambil langkah untuk mengagihkan kuasa pusat, dan di bawah pentadbiran beliau, dua mesyuarat Durbar diadakan sebelum tercetusnya Perang Dunia, sekali pada tahun 1937 dan yang terakhirnya pada 25 November 1939 di Klang, Selangor. Walaupun mesyuarat Durbar pada asalnya diperkenalkan sebagai badan penasihat semata-mata tetapi ia menjadi sebuah institusi yang mendapat kepercayaan sebagai suara rasmi orang Melayu kerana dasar pihak British terpaksa dipertahankan secara terbuka seringkali atas alasan ia mewakili kehendak Raja-raja. Pada umumnya, Pejabat Tanah Jajahan, berusaha menyesuaikan permintaan seperti itu dari sudut pandangan perundangan bahawa Raja-raja Melayu ialah Raja yang berdaulat. Sepertimana yang disebut oleh Abdul Aziz Bari, "Pada asasnya mesyuarat Durbar memperlihatkan tanggungjawab bersama Raja-raja Melayu sebagai pelindung orang Melayu."

 

 

Penubuhan Majlis Raja-raja

Majlis Raja-raja ditubuhkan secara formalnya dalam tahun 1948 sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-raja Negeri-negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-raja Melayu (Durbar). Ianya pertama kali diadakan di Kuala Kangsar pada tahun 1897. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Mesyuarat Majlis Raja-raja yang pertama diadakan ialah pada 18 Februari 1948. Mesyuarat ini dibuat pertama kali dihadiri oleh semua Sembilan orang Raja-Raja Melayu.

Antara tahun 1948 hingga 1957, Mesyuarat Majlis Raja-raja diadakan sebanyak 50 kali. Antara sumbangan yang dibuat untuk kebajikan orang Melayu adalah seperti yang berikut:

  1. Penubuhan Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Majlis Raja-raja (Mesyuarat ke-8, 1949)
  2. Mengehadkan kemasukan tenaga buruh dari negeri China dan India
  3. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun bukan sebagai bahasa kebangsaan.

Pada awalnya, Dato' Onn Jaafar, Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Abdul Wahab, Dato' Nik Ahmad Kamil Mahmood dan Dato' Hamzah bin Abdullah yang masing-masing merupakan Menteri besar Johor, Perak, Kelantan dan Selangor telah memainkan peranan penting dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja.

"Majlis ini merupakan perhimpuan yang paling agung di negara ini. Meskipun Majlis ini tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang atau mengenakan cukai ataupun menyekat perbelanjaan awam, ia sangat berpengaruh. Majlis ini merupakan badan penghubung yang erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri pada tahap yang tertinggi. Mesyuarat yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi pihak Kerajaan Persekutuan, dan Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri bersama-sama dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri masing-masing ini, memberikan peluang kepada mereka untuk membincangkan masalah bersama yang mungkin dihadapi oleh mana-mana negeri dan memandangkan Mesyuarat sebegini biasanya diadakan secara sulit, mereka boleh berterus terang secara hormat. Bagi Perdana Menteri pula, Mesyuarat sebegini merupakan forum yang bernilai untuk menerangkan dengan lebih lanjut lagi tentang dasar-dasar persekutuan yang telah dan akan ditetapkan."

Majlis Raja-raja bukan sahaja agung tetapi juga unik kerana Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa yang wujud di dunia pada masa kini.

Majlis Raja-raja juga unggul dari beberapa segi, kerana sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda oleh Parlimen sahaja, kerana persetujuan haruslah diperoleh daripada Majlis Raja-raja terlebih dahulu. Peruntukan tersebut ialah:

  1. Pindaan terhadap Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan juga hak kaum yang lain-lain.
  2. Pindaaan Perkara 152 mengenai kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
  3. Pindaan bagi peruntukan yang lain-lain.

Undang-undang yang berkaitan dengan pindaan sempadan negeri digubal oleh Parlimen, selain undang-undang yang digubal oleh perundangan negeri berkenaan. Walau bagaimanapun, undang-undang ini juga memerlukan persetujuan daripada Majlis Raja-raja terlebih dahulu. Hal ini dinyatakan dalam Perkara 2, Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut sejarah negara kita, peruntukan Perkara 2 yang berkaitan dengan pindaan sempadan negeri telah digunakan sebanyak 3 kali.

  1. Penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1973, yang diambil dari negeri Selangor.
  2. Penyelesaian masalah sempadan antara negeri Kedah dan Pulau Pinang.
  3. Pewujudan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 1984.

 

sumber : http://www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/sejarah/8-kategori/21#section=p4

Sistem Raja Berpelembagaan

 

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.


CIRI-CIRI KELAYAKAN

             
* Hanya Raja-Raja sahaja yang boleh dipilih.
* Hanya Raja-Raja sahaja yang boleh mengundi.
* Pada kebiasaannya, Raja yang paling kanan dari segi lama tempoh memerintah akan dipilih. Peraturan ini tidak lagi digunapakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.Pusingan ini berakhir selepas Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IX.Selepas itu satu senarai baru yang dikenali sebagai senarai yang disusun semula dan digunapakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang Rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong pertama hingga ke sembilan).
 


YANG TIDAK LAYAK DIPILIH

Perlembagaan memperuntukkan bahawa seorang Raja layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali:

* Raja itu belum dewasa;
* Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa baginda tidak berhasrat dipilih; atau
* Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima ahli Majlis.

 

 LANGKAH-LANGKAH AWAL SEBELUM PEMILIHAN

 * Mohon perkenan tarikh Mesyuarat Pemilihan.
* Sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan itu.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.

 

PROSIDING PEMILIHAN

 * Apabila Majlis Raja-Raja bersidang untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri tidak hadir walaupun mereka ahli Majlis.
* Pemilihan dibuat secara undi sulit.
* Keratan undi dimusnahkan di hadapan Raja-Raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan.
* Kertas undi yang digunakan tidak bernombor dan ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama dimasukkan dalam peti undi.
* Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
* Hanya Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan.
* Seseorang Raja boleh memilih seorang Raja lain sebagai proksi iaitu mengundi bagi pihak baginda sekiranya Raja itu tidak menghadiri Mesyuarat Pemilihan.

 

PROSES PEMILIHAN

Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memberikan kertas undi kepada setiap Raja, dan setiap Raja diminta menandakan pilihannya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Calon mestilah mendapat majoriti 5 undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda. Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperolehi undi majoriti, maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan untuk diundi. Proses hanya akan selesai selepas baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

 

SELEPAS TAMAT URUSAN PEMILIHAN

Selepas tamat kedua-dua urusan pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan menghantar surat mengesahkan keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan tugas-tugas rasmi selepas baginda menandatangani sumpah jawatan dalam satu istiadat di hadapan Majlis Raja-Raja dan Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua orang Raja yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai saksi-saksi.

 

PEMECATAN

Dalam menjalankan kuasa-kuasa dan tugas, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki menurut nasihat Jemaah Menteri. Namun Baginda tidak boleh dipecat dari jawatan oleh Jemaah Menteri mahupun Parlimen.  Kuasa ini adalah terletak kepada Majlis Raja-Raja sebagaimana telah ditunjukkan berkuasa memilih Baginda menyandang jawatan tertinggi ini. Perlembagaan telah memperuntukan bahawa sesuatu ketetapan bagi majlis ini memecat Yang di -Pertuan Agong  dari jawatan tidak boleh diluluskan melainkan apabila sekurang-kurangnya lima orang ahli Majlis Raja-Raja mengundi mengundi menyokongnya.

Senarai Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan

Darjah Kebesaran Persekutuan merupakan anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan oleh  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada pemimpin dan rakyat Malaysia yang telah berjasa, berkorban dan berbakti kepada negara serta para pembesar dan diplomat negara-negara asing.

pingat-web 03
1.0 KATEGORI : Darjah Kerabat dan Darjah Kebesaran Diraja
 

Darjah kebesaran ini mempunyai satu pangkat sahaja dan bilangan ahli-ahlinya terhad seramai 10 orang. Darjah kebesaran ini dikurniakan kepada seorang Raja yang telah diisytiharkan sebagai Yang Dipertuan Agong sahaja.

Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana. Kalung Darjah diperbuat daripada perak bersadur emas. Bintang Darjah berbentuk pancaran-pancaran emas dan di atasnya berukir timbul motif daun paku (fern). Darjah diperbuat daripada kain sutera merah dan hujungnya berikat reben. Lencana Darjah berbentuk pancaran-pancaran emas dan di atasnya terdapat sekuntum bunga raya. Ia berpaut pada motif Mahkota Diraja Malaysia. Darjah ini dizahirkan pada 18 April 1966 dan diwartakan pada 30 Jun 1966.

   

pingat-web 06

2.0 KATEGORI: Darjah Kerabat dan Darjah Kebesaran Diraja
 

Darjah kebesaran ini juga mempunyai satu pangkat sahaja. Bilangan ahli-ahlinya adalah terhad kepada 30 orang sahaja. D.M.N ini dikurniakan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang baru sahaja ditabalkan di negerinya. 15 daripadanya mungkin terdiri daripada anak-anak Raja negara luar, Ketua-ketua Negara atau orang-orang yang amat ternama.

Darjah Utama Seri Mahkota Negara ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Kalung Darjah mengandungi motif tengah yang berbentuk dua bilah keris bersarung yang bersilang serta menjulang. Bintang dan Bulan Sabit Bintang Darjah ini diperbuat daripada emas dan berbentuk bintang pecah sembilan. Lencana Darjah ini diperbuat daripada bintang pecah lima. Selepang Darjah diperbuat daripada kain sutera kuning dan di tengahnya terdapat jalur merah dan hujungnya berikat reben.

Di kedua-dua belah tepinya terdapat jalur kecil putih di antara dua jalur kecil berwarna biru. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958.

   
  pingat-web 09
3.0 KATEGORI :
 

Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) merupakan pangkat yang tertinggi antara enam pangkat dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. Dikurniakan sebagai penghormatan yang istimewa kepada mereka yang telah berjasa dengan cemerlang kepada negara dan berpengaruh tinggi sesuai dengan kedudukan mereka.

Pangkat S.M.N. terhad kepada 25 orang, tidak termasuk jumlah warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat. Penyandang Darjah ini membawa gelaran 'Tun' dan isteri penyandang bergelar 'Toh Puan'.

Kalung Darjah mengandungi lambang-lambang Jata negeri-negeri dalam Malaysia. Bintang Darjah berbentuk bintang pecah sebelas yang diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Lencana Darjah berbentuk bintang pecah sebelas diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Selepang Darjah diperbuat daripada kain sutera berlatarkan warna biru dan di kedua belah tepi selepang terdapat jalur kuning. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958

   
  pingat-web 12
 4.0  KATEGORI :
 

Panglima Mangku Negara (P.M.N) ialah Darjah Pangkat Kedua dalam keluarga Darjah-darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN) dan Kelas Pertama bagi kurniaan ‘Tan Sri’. Penyandangnya bergelar ‘Tan Sri’ dan jika beristeri, maka isterinya bergelar ‘Puan Sri’. Dikurniakan kepada mereka yang ternama dan bertaraf tinggi yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara dalam apa jua lapangan. Bagi pegawai kerajaan, pengurniaan ini sesuai bagi mereka yang berada di Tingkatan Turus I. Jumlah anugerah terhad kepada 75 orang sahaja dan ini tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Bintang Darjah diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Lencana Darjah sama seperti Bintang Darjah tetapi saiznya kecil sedikit. Selepang Darjah mempunyai warna jalur putih di kedua belah tepi selepang dan jalur merah di tengah yang terletak di atas jalur kuning. Selepang ini ada ikatan reben di hujungnya dan di bawah ikatan ini tersangkut Lencana Darjah. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958.

   
  pingat-web 16
 5.0  KATEGORI :
 

Johan Mangku Negara (J.M.N.) merupakan pangkat ketiga antara enam pangkat dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Jumlah penyandang J.M.N. terhad kepada 1,000 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

 

sumber : http://pengurusan.istananegara.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=186&Itemid=624

Subcategories